Friday, June 12, 2009

Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Aziz tolak Kerajaan Perpaduan,

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memanggil Harakah ke Rumah Sri Kelantan sehari setelah Muktamar Tahunan PAS ke-55 selesai dilangsungkan. Pada sebelah pagi, 7 Jun lalu, wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH menemui Menteri Besar Kelantan itu dan mengadakan wawancara. Tok Guru betul-betul sedih dan kecewa kerana tiada pemimpin dari Kelantan yang menang pada pemilihan Muktamar kali ini. Beliau paling sedih, apabila media terus memainkan isu kerajaan perpaduan yang ditolak oleh perwakilan. Ikuti pendangan tokoh ulama PAS yang disegani ini.

Muktamar PAS yang ke-55 telah selesai. Kemudian telah dipilih pemimpin-pemimpin yang akan menerajui PAS, yang disebut PAS memimpin perubahan. Cuma saya bukan sahaja terkilan dan sedih di atas tidak dipilihnya pemimpin Kelantan pada pemilihan PAS baru-baru ini.Bukan sahaja terkilan tetapi sedih. Saya tidak tahu apa puncanya. Kita akan kaji, dan boleh jadi kita akan serah perkara ini kepada muktamar pusat akan datang. Cuma saya gembira sungguh-sungguh atas keputusan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menolak sebulat suara mengenai kerajaan perpaduan.Benda ini saya sendiri telah buat keputusan sejak lama dahulu. Saya telah tegur pemimpin PAS Pusat, pemimpin yang selalu mengutarakan muqabalah, muzakarah ini. Saya bagi tahu bahawa keputusan ini bercanggah dengan keputusan muktamar di Perak tahun lepas. Oleh itu, kalau kita hendak buat benda yang baru, perlu dibawa ke muktamar.Yang kedua, bagi saya Jabatan Penerangan PAS Pusat perlu diubahsuai mengikut keputusan-keputusan muktamar. Ini kerana PAS hanya ada satu lidah rasmi saja untuk PAS iaitu Harakah.Dalam organ Harakah ini pula, perlu dilihat semuala. Disemak dan dirombak mengikut kehendak keputusan muktamar iaitu menolak kerajaan muktamar, seperti keputusan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Siapa orangnya yang diharapkan, sudah tentu pimpinan dapat pastikan.Yang ketiga, saya ucap tahniah kepada YB Khalid Samad. Walaupun beliau tidak pernah dilihat berkopiah, berserban, berjubah tetapi ucapan dia dalam dewan muktamar kelmarin beliau telah menggunakan hujah-hujah ulama seratus peratus.

Lagak dia ini (Khalid) boleh menyelesaikan persoalan yang dibesar-besarkan oleh pihak media arus perdana yang ingin mengasingkan antara profesional dan ulama. Khalid Samad telah menonjolkan, menjelmakan tafsiran yang sah bahawa ulama PAS adalah profesional dan profesional PAS adalah ulama. Tidak ada pengasingan dalam PAS khasnya dalam Islam antara dua golongan ini.Hujahnya adalah hujah alim ulama. Ada dua hujah dia. Pertamanya mengenai Abu Jahal patuh kepada tradisi Arab (perlembagaan tidak bertulis) bahawa tiap-tiap orang apabila dilindungi oleh seorang pembesar Makkah, maka kerajaan terpaksa akur dengan perlindungan itu.Apabila Rasulullah balik daripada Taif, baginda tidak dibenarkan masuk ke Makkah oleh kerajaan Abu Jahal. Tetapi nabi kita menggunakan diplomasi iaitu dengan meminta perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am bin Adiyy yakni seorang kafir musyrik. Oleh kerana budaya Arab apabila seseorang yang dapat perlindungan daripada mana-mana orang Arab maka Arab yang lain terpaksa menerimanya.Jadi, Abu Jahal terima Rasulullah duduk di Makkah berdasarkan tradisinya mendapatkan perlindungan daripada seorang yang bernama Mut'am. Abu Jahal tahu dan hormat kepada tradisi itu. Malangnya, Umno tidak tahu hormat langsung peraturan dan undang-undang.Umno pencabul di Perak kerana bukan tradisi orang Melayu berbalah sesama orang Melayu. Bukan perlembagaan namanya itu? Jadi, Umno ini lebih teruk daripada Abu Jahal lagi. Umno tiada perlembagaan dan moral. Akhlak pun tak ada. Apa yang dia nak buat, dia buat ikut sedap hati dia. Betul-betul dibuat atas sebab nafsu amarah. Saya ulang berkali-kali firman Allah dalam al-Quran, ayat 27-28 Surah Fathir. Allah letakkan perkataan ulamak di penghujung ayat mengenai geografi, geosains, mengenai alam sekitar. Ayat tersebut bermaksud, "Yang takut pada Allah itu adalah ulama."Perkataan ulama diletak dihujung daripada ayat-ayat mengenai langit, bumi, air, cuaca, alam sekitar, yang mengandungi manusia dan haiwan. Ini menunjukkan ulama ini tidak hanya seperti fahaman tradisi yang mementingkan fiqh, syariat dan tasawuf semata-mata.Perkara ini kebetulan berlaku kerana usaha-usaha penjajah di seluruh dunia yang menyekat aliran ilmu-ilmu begini untuk diketahui oleh anak-anak jajahan. Ilmu sains dan teknologi ini sengaja dicipta oleh penjajah. Ini kerana kebanyakan alim ulama kita zaman dahulu hanya belajar di Masjidil Haram. Di sana pada ketika itu hanya mementingkan ilmu fiqh, daripada pengarang-pengarang lama. Dalam ulama Makkah tidak diajar ilmu sains, teknologi, geografi. Semuannya ini tidak diajar. Itulah puncanya.

No comments:

Post a Comment